Sunday, February 17, 2008

BN Ada Banyak Bukti Kejayaan, Kata Abdullah

SUNGAI PETANI, 16 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai banyak bukti kejayaannya sejak mentadbir negara ini terutama sejak 2004.

Perdana Menteri berkata, selain kejayaan dalam membangunkan negara, BN juga telah membuktikan keupayaannya membentuk sebuah kerajaan yang dikongsi oleh pelbagai kaum dengan cemerlang dan harmoni.

"Negara yang berbilang kaum memerlukan pemimpin yang bekerjasama di kalangan pelbagai kaum," katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan rakyat Kedah bersama Perdana Menteri di Taman Ria Jaya di sini hari ini. Katanya, apa yang dicapai oleh negara hari ini memberi erti yang besar kepada kemerdekaan negara.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, beliau boleh menangguhkan pilihan raya sehingga tahun depan namun keyakinan rakyat terhadap prestasi BN membolehkan parlimen dibubarkan setahun lebih awal.

Katanya pencapaian gemilang negara termasuk menyemarakkan ekonomi dengan nilai perdagangan telah meningkat sebanyak 32 peratus kepada RM1.16 trilion tahun lalu berbanding RM881 bilion pada 2004. Bagi tempoh yang sama juga pendapatan isi rumah meningkat daripada RM3,259 kepada RM3,669 yang membuktikan taraf hidup rakyat juga bertambah baik. Perdana Menteri juga berkata bahawa kenaikan harga minyak yang menimbulkan kebimbangan orang ramai patut dilihat secara positif.

Lagi: http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=314316

No comments: